pix_middle
SELEPAS mempertahankan dua kejuaraan bulan ini, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) ada satu lagi misi untuk disempurnakan iaitu mempertahan kejuaraan Siri Super Premier Terbuka Korea minggu ini.
Chong Wei tampak mudah mempertahankan kejuaraan Siri Super Final (Taiwan) dan Terbuka Malaysia, kelmarin, bagaimanapun berdepan laluan berliku di Seoul apabila semua 16 pemain terbaik dunia mengesahkan mengambil bahagian kejohanan bermula hari ini hingga 30 Januari.

Kejohanan badminton paling lumayan itu adalah pertandingan pertama daripada lima Siri Super Premier yang diwajibkan kepada 10 pemain terbaik dunia, akan memulakan aksi pusingan kelayakan hari ini.
Selaku pilihan utama, laluan Chong Wei getir seawal pusingan pertama apabila dijadual menentang pemain Denmark, Jan o Jorgensen. Turut berada dalam laluannya ke final, Park Sung Hwan, Chen Jin, Chen Long dan Bao Chunlai, sekali gus menjadikan Terbuka Korea kejohanan paling sukar buat Chong Wei sejak bergelar pemain nombor satu dunia pada 2008.

Musuh ketat Chong Wei, juara Olimpik Beijing, Lin Dan yang mendakwa mengalami kecederaan hingga menyebabkannya menarik diri di Terbuka Malaysia mengesahkan akan beraksi di Seoul.

Pemain China itu yang berada di undian bawah dan bakal berdepan pemain nombor dua dunia, Taufik Hidayat (Indonesia) di suku akhir sebelum menentang Peter Gade (Denmark) di separuh akhir, mempunyai laluan mudah apabila diundi berdepan pemain kelayakan di pusingan pertama.

Bagaimanapun, laluan selesa terhidang buat Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir. Gandingan yang bergelut dengan prestasi merudum itu akan menentang gandingan tuan rumah, Cho Gun Woo-Kwon Yi Goo di pusingan pertama, sepatutnya tiada masalah ke pusingan kedua, cuma mereka perlu lebih positif ketika menentang lawan tidak pernah dihadapi sebelum ini.

Jika mara, Kien Keat-Boon Heong akan bertemu sama ada satu lagi gandingan Korea, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung atau Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia di separuh akhir.
Gandingan Mohd Zakry Latif-Hoon Thien How yang melangkah ke suku akhir Terbuka Malaysia pula terpaksa beraksi dalam pusingan kelayakan.

Mereka perlu menempuh dua perlawanan sebelum ke undian sebenar. Jika mara, gandingan itu boleh membalas dendam ke atas pemain Jepun, Naoki Kawamae-Shoji Sato di pusingan pertama selepas gandingan lawan mengalahkan mereka minggu lalu.

Wong Mew Choo pula bakal membuat perhitungan dengan Wang Xin yang menewaskannya minggu lalu. Mew Choo mampu melakar kejutan ke atas pilihan utama itu tapi memerlukan tenaga luar biasa kerana tiga pertemuan sebelum ini, ratu badminton negara itu tewas semua perlawanan.

sumber : hmetro