RAJA Pecut 2010, Anuar Manan (gambar) sudah mula mengorak kayuhan penuh bertenaga dalam misinya melakar kejayaan gemilang pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011).
Selepas menduduki tempat ketiga pada perlumbaan peringkat kedua dari Kangar ke Butterworth kelmarin, Anuar sekali lagi mencuri tumpuan peminat dengan mengakhiri peringkat ketiga dari Taiping ke Sitiawan semalam selaku naib juara.

Kejayaan tersebut menyuntik semangat pelumba pasukan Terengganu ProAsia Cycling (TSG) itu untuk memberikan cabaran lebih sengit kepada pencabar utama, Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli.
Selepas berakhir tiga peringkat perlumbaan, kedua-dua pelumba itu berkongsi 51 mata, namun Guardini lebih layak menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan kerana pelumba kelahiran Itali itu berjaya memenangi peringkat pertama dan kedua.

Bagaimanapun, Anuar yang menjadi taruhan pasukan Terengganu ProAsia Cycling (TSG) tidak pulang tangan kosong kerana mengekalkan Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia buat hari kedua berturut-turut.

Kelmarin Anuar berjaya menyambar Jersi Putih daripada pelumba pasukan kebangsaan Korea Selatan, Park Sungbaek yang tidak berkayuh pada peringkat ketiga selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan di Butterworth, kelmarin.

“Perasaan kecewa tetap ada sedikit kerana saya gagal memenangi perlumbaan peringkat ketiga hari ini (semalam) tetapi dalam masa sama, masih boleh gembira kerana tetap berada di atas podium.

“Sekurang-kurangnya dengan kejayaan menduduki tempat kedua, saya memperbaiki pencapaian pada perlumbaan peringkat kedua,” kata Anuar.